Dynamic Glitter Text Generator at TextSpace.net

Saturday, February 4, 2012

MENJAGA IBADAH DALAM MENUNTUT ILMU

Cuti yang berbaki tidak lama lagi akan meninggalkan kita. Banyak masa telah dihabiskan bersama teman- teman seperjuangan pergi berjaulah, melawat sahabat-sahabat di mantiqah lain, dan ada juga yang pulang ke Malaysia. Semoga selamat kembali ke bumi Mu’tah ini dalam keadaan sejahtera hendakNya.

Hanya beberapa hari sahaja lagi kita akan kembali ke ‘sekolah’. Menyambung kembali pencarian ilmu, mengejar masa ke kuliah, kembali berjaga malam untuk mengulangkaji pelajaran. Mudah-mudahan fasal yang baru akan lebih bersemangat dan masing-masing sudah memasang azam lebih baik pada tahun baru ini.

Sudah pasti fasal yang baru ini masing-masing ingin meningkatkan muaddal dan juga kefahaman di dalam kelas lebih-lebih lagi pada pelajar tahun satu. Tetapi kita juga perlu ingat dan peka bahawa ada perkara yang lebih penting untuk ditingkatkan iaitu ibadah kita. Perlulah kita berhati-hati dari pintu yang dilalui oleh syaitan iaitu meremehkan ibadah. Mungkin kerana sibuk dengan hafalan, mudzakarah, muraja’ah, disibukkan dengan ilmu hadis, ilmu mustholah, ilmu fiqih, ilmu usul fiqh, dan sebagainya.

Ingatlah bahawa ilmu menyeru kepada amal soleh, ilmu menyeru kepada ibadah, ilmu menyeru kepada taqwa, ilmu menyeru kepada istiqamah, dan ilmu menyeru kepada tawadhuk. Jika diri kita sendiri tidak mampu mengambil manfaat dari ilmu yang kita miliki, bagaimana orang lain dapat mengambil manfaat dari ilmu kita? Kadang-kadang kiat tidak sedar kita telah mensia-siakan solat dhuha, solat witir juga tidak memperhatikan zikir di waktu pagi dan petang, dan terkadang tidak memberatkan puasa-puasa sunat.

Adapun penuntut ilmu yang baik dia akan bayak beristighfar, memuji Allah, banyak bertasbih kepada Allah, menjaga solat dhuhanya, solat witir dan solat malam. Menjaga puasa sunat dengan rela hatinya. Menginfakkan ilmu yang telah diberikan oleh Allah atau harta bendanya atau waktunya. Tidaklah dia mencari semua itu melainkan kerana Allah semata-mata. Seseorang yang beramal dengan ilmunya, dia akan bersabar, lemah lembut, memaafkan, dan mengambil manfaat dari ilmu-ilmu yang dipelajari.

Perhatikanlah ibadah kita jika kita menginginkan Allah memberikan manfaat kepada kita, mengukuhkan diri dan menenteramkan hati kita. Bersemangatlah dalam menjalankan ketaatan dan ibadah kepada Allah. Jagalah saf pertama dalam solat berjemaah, jagalah solat dhuha, jagalah solat malam dan juga puasa sunat.

Kita dalam keadaan beribadah seperti ini lebih kaya dari orang lain kerana kita belajar dan beramal. Setiap dari kita mempelajari atau melewati satu ayat atau satu hadis maka praktikkanlah dan wujudlah amal. Jika berkait dengan akidah maka yakinilah, jika berkait dengan kewajipan maka kerjakanlah, jika berkait dengan fadhail amal maka bersemangatlah dan jika berkait dengan keharaman maka tinggalkanlah.dan juga jika berkait dengan perkara dibenci Allah maka bersihkanlah hati kita dari perkara yang dibenci itu.

Kita sebagai penuntut ilmu Allah ini haruslah bersama-sama menjaga ibadah kita, saling ingat mengingatkan antara satu sama lain supaya kita sama-sama dapat menuju syurgaNya, insya-Allah.

Semoga pada tahun baru ini, kita akan berada dalam fasal yang baru tidak lama lagi dan juga semangat dan azam yang baru, dapat sama-sama kita meningkatkan dan memperbaharui nilai ibadah kita.

Az-zuhri berkata kepada Yunus bin Yazid: “Jangan lah kamu berasa sombong  dengan ilmu, kerana ilmu itu berupa lembah-lembah, maka yang mana pun kamu mulai dengannya, dia akan terputus darimu sebelum kamu meraihnya. Tetapi ambillah  sepanjang siang dan malam. Dan janganlah kamu mengambil ilmu satu kali sekali gus. Barangsiapa yang mengambilnya sekali gus maka akan hilang darinya sekaligus. Tetapi ambillah sedikit demi sedikit bersama siang dan malam.”

p/s: Selamat kembali ke ‘sekolah’ adik-beradik semua..=)

~Along Kira~

No comments:

Post a Comment