Dynamic Glitter Text Generator at TextSpace.net

Sunday, April 15, 2012

Ingatlah kepada Allah Ketika Susah dan Senang

Ingatlah kepada Allah Ketika Susah dan Senang


Apa pandangan kita pada jenis saudara atau kawan yang hanya mahu mendekati kita ketika dia dalam keadaan susah sahaja. Ketika dia senang kita tidak termasuk dalam senarai kawan-kawan rapatnya.
Apabila dalam keadaan susah, barulah dia muncul di hadapan kita dengan wajah sedihnya. Apa lagi maksud kedatangan tiba-tiba itu selain untuk mengadu masalah dan meminta pertolongan kita setelah kawan-kawan gelak tawanya menyisihkan diri. Waktu lain memang tak nampak muka, malah tak nampak batang hidung. Langsung sepi daripada sebarang berita.

Sebenarnya bab menolong itu memang tidak menjadi masalah. Kawan datang meminta, memang kita patut tolong. Tapi kita harus awas, beringat dan selalu berhati-hati daripada jenis kawan yang berkepentingan sebegini. Kawan-kawan kategori ini adakala tak ubah seperti peribahasa,
 “seperti melepaskan anjing tersepit”
Selepas kita menolongnya, dia mungkin akan makan kawan pula.

Ah, rupanya di kalangan manusia selaku hamba Allah ini pun hanya mengingati Tuhan Penciptanya pada kala susah dan menderita sahaja. Apa buktinya? Banyak buktinya. Semuanya berdasarkan pengalaman seharian. Apabila ditimpa musibah, barulah seseorang itu mahu menyebut “ Allah… Allah”. Apabila terlantar kesakitan, barulah Allah yang diingati.

Apabila ada masalah hidup, barulah mahu berkunjung ke masjid dan surau. Apabila ada kematian keluarga, baru terkulat-kulat hendak menatap kitab suci al-Quran. Apabila hampir dengan peperiksaan baru ingin bersolat sunat dan memohon doa padanya. Itulah situasi-situasi yang selalu kita lihat dan ketemui dalam masyarakat kita hari ini.

Adalah baik dapat menyebut dan mengingati Allah SWT pada waktu-waktu sebegitu. Tetapi apakah kita hanya mengingati  Allah SWT semasa susah dan bermasalah sahaja? Patutkah juga kita hanya teringat hendak menyebut nama Allah SWT sewaktu ditimpa bala musibah sahaja? Apakah Allah SWT itu Tuhan kita sewaktu susah sahaja? Waktu kita senang, lain pula Tuhannya?

Sesungguhnya Allah itu Tuhan kita kala kita senang dan kala susah. Kala suka mahupun duka.  Kala keseorangan diri mahupun di tengah khalayak ramai. Kala sedih mahupun gembira. Orang mukmin itu sentiasa akrab bersama Tuhannya di dalam keadaan dan situasi apa jua.

Hamba yang sejati hakikatnya akan selalu bersama Tuhannya. Bukan hanya pada waktu-waktu yang terdesak sahaja. Begitu juga Muslim yang sejati itu ialah Muslim yang komited dan istiqamah terhadap agamanya setiap masa dan ketika. Jatuh bangunnya bersama Islam. Islam menjadi matlamat dan cara hidupnya, bukan alat untuk mencapai kepentingan dirinya. Allah SWT dan Islam bukan sekadar temannya pada musim banjir dan kemarau sahaja. Bukan sekadar pendamping dalam situasi gawat dan darurat. Bukan sekadar sebutan dan ingatan pada majlis perkahwinan dan kematian!
Sekiranya seseorang hamba itu mentaati dan memuji Allah SWT pada senang, sihat, dan lapang maka Allah SWT berjanji akan segera menolong dan membantunya sewaktu dia dilanda masalah mahupun ketika dia diulit kebimbangan.


Bersabda Rasulullah SAW:

“Sesiapa yang menginginkan doanya dikabulkan oleh Allah pada masa kesusahan (kesempitan dan kebimbangan), hendaklah dia memperbanyakkan doa pada masa lapang (senang).”
(Riwayat at-Tirmizi daripada Abi Hurairah r.a., hadis hasan)

Sabda Rasulullah SAW lagi:

“Jagalah Allah (agama dan hak-hak-Nya), maka engkau akan mendapatkan-Nya sentiasa di depanmu. Kenalilah Allah pada masa senang,
maka nanti Allah akan mengenalimu pada masa kesuasahan.”

~ Bawa Hatimu Kepada Tuhan ~
Sesungguhnya aku beribadat bukan kerana syurga dan neraka-Mu,
tetapi kerana cinta  pada-Mu”
Rabiatul Adawiyah
~Along Kira~

No comments:

Post a Comment