Dynamic Glitter Text Generator at TextSpace.net

Wednesday, December 28, 2011

~Untukmu Wanita~



Sabda Rasulullah s.a.w. dalam hadis Riwayat Muslim, 
“ Harta yang paling berharga di dunia adalah 
wanita yang solehah.”

Ramai wanita menisbahkan kemuliaan wanita pada kecantikan semata-mata. Ada juga yang menisbahkan kemuliaan mereka pada kekayaan, dan tidak kurang juga pada keturunan.

Tetapi ini adalah penilaian oleh insan yang buta mata hatinya. Sesungguhnya kemuliaan semua makhluk Allah s.w.t. adalah terletak pada tahap ketaqwaan kepada Allah.

Dalam Islam wanita amat dihormati dan dihargai peranannya. Kemuliaan dan keruntuhan sesuatu bangsa terletak di tangan wanita, walaupun mereka diselubungi kelemahan, tapi teriakan wanita mampu merubah segala-galanya.

Kerana itulah sebagai anak, dia perlu menjadi anak yang solehah. Manakala sebagai isteri, dia menjadi isteri yang menyenangkan dan menenangkan hati suaminya, manakala sebagai ibu pula, dia akan menjadi ibu mithali yang akan mendidik anaknya dengan penuh kasih sayang.

Firman Allah s.w.t dalam surah An-Nisa’ ayat ke-24 yang bermaksud:

“ Barangsiapa yang mengerjakan amalan yang soleh, baik lelaki mahupun wanita sedang  ia seorang yang beriman maka mereka itu masuk ke dalam syurga dan mereka tidak dianiaya walau sedikit pun.”

Nilai wanita bukan terletak pada pakaiannya mahupun perhiasan diri untuk memperlihatkan kecantikannya, tetapi hakikatnya ialah pada kesopanan, rasa malunya dan keterbatasan dalam pergaulan.

Wanita solehah itu adalah wanita yang tegar menjaga maruah serta apa yang lahir dari dirinya sama ada wajahnya, suaranya, senyum tawanya, jalannya, dan sebagainya.

Idola yang paling terbaik buat wanita untuk dicontohi adalah Saidatina Khadijah r.a, isteri tercinta Rasulullah s.a.w.

“Demi Allah, tidak ada ganti yang lebih baik dari dia, yang beriman kepada ku saat semua orang ingkar, yang percaya kepada ku ketika semua mendustakan, yang mengorbankan semua hartanya saat semua berusaha mempertahankannya dan darinyalah aku mendapatkan keturunan.”

Begitulah Rasulullah s.a.w. berkata tentang keperibadian Ummul Mukminin. Seorang  isteri sejati, muslimah yang dengan segenap kemampuan dirinya berkorban demi kejayaan Islam.

Saidatina Khadijah berasal dari keturunan yang terhormat, mempunyai harta kekayaan yang tidak sedikit serta terkenal sebagai wanita yang tegas dan cerdas.
Bukan sekali dua kali pemuka kaum Quraisy cuba untuk mempersunting dirinya. Tetapi pilihannya justeru jatuh pada seorang pemuda yang bernama Muhammad, pemuda yang begitu mengenal harga dirinya, yang tidak terngiur oleh kekayaan dan kecantikan yang dimiliki oleh Saidatina Khadijah Khuwailid r.a.

Saidatina Khadijah r.a. merupakan wanita pertama beriman kepada Allah dan RasulNya. Beliau banyak membantu dan memperteguhkan tekad Rasulullah s.a.w. dalam melaksanakan risalah dakwah. Beliau sentiasa berusaha meringankan kepedihan hati dan menghilangkan keletihan serta penderitaan yang dialami oleh suaminya dalam menjalankan tugas dakwah.

Inilah keistimewaan dan keutamaan Khadijah dalam sejarah perjuangan Islam. Beliau adalah sumber kekuatan yang berada di belakang Rasulullah s.a.w. Adakah wanita pada zaman kini mencontohi sebagaimana peribadi Ummul Mukminin ini?

Sama-samalah kita mengambil pengajaran dari kisah Ummul Mukminin ini. Buat wanita solehah di luar sana, yang bergelar seorang pelajar, anak, isteri mahupun ibu mengambil ibrah dari kisah Saidatina Khadijah ini. Jadilah seorang pelajar yang cemerlang, seorang anak yang berbakti pada kedua ibu bapanya, isteri yang solehah, dan juga ibu yang mithali supaya generasi yang akan datang akan terus menyemarakkan Islam.

Saidatina Aisyah r.a pernah berpesan, “ sebaik-baik wanita adalah yang tidak memandang dan dipandang, jangan kau berasa bangga dengan kecantikanmu sehingga kau dikejar jutaan lelaki. Itu bukan kemuliaan bagimu. Jika kau berasa bangga, kau menyamakan dirimu dengan pepasir di pantai, yang boleh dipijak dan dimiliki sesiapa sahaja. Muliakanlah dirimu dengan taqwa, setanding mutiara Zabarjad, yang hanya mampu dimiliki penghuni syurga.

~Kak Long Kira~

No comments:

Post a Comment